Wednesday, March 28, 2012

Bercerai Susu Ibu : Kesan fizikal dan emosi akan dirasai antara ibu, bayi :-(


dikala hati penuh dengan segala emosi, kuar artikel ni kat paper...so ada motivasi skit ttg hal yg dok ganggu emosi saya

**************************************************************************


JANGAN BERTINDAK DRASTIK

PENYUSUAN susu ibu tidak dinafikan adalah bentuk makanan terbaik yang boleh diberikan kepada bayi selepas kelahiran dan perlu diberikan secara eksklusif selama enam bulan.

Ini disebabkan bayi memerlukan khasiat yang terkandung dalam susu ibu saja tanpa memerlukan tambahan makanan ataupun minuman lain sepanjang tempoh berkenaan.

Malah, susu ibu mampu melindungi bayi kerana ia kaya dengan antibodi, mencegah jangkitan dan penyakit mata kerana mengandungi vitamin A dan E. Ia juga berupaya untuk mencegah alahan dan mengeluarkan mekonium selain mencegah masalah jaundis.

Selain itu, susu ibu mengandungi probiotik serta banyak zat organik dan bukan organik yang membantu memantapkan sistem imuniti bayi sepanjang proses tumbesaran mereka.

Namun, ada juga golongan ibu yang merasakan perceraian awal susu ibu akan menyebabkan bayi mereka tidak mendapat nutrisi sepenuhnya kerana terlalu bergantung kepada susu formula.

Malah, penulis sendiri juga hanya mampu menyusukan anak selama enam bulan sebelum memberikan susu formula sepenuhnya hingga kini.

Hinggakan adakalanya terlintas di fikiran sama ada anak mendapat bekalan nutrisi diperlukan berbanding bayi yang mendapat susu ibu sepenuhnya.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik Hospital Pakar KPJ Selangor, Datuk Dr Zulkifli Ismail, perceraian susu ibu lebih awal tidak menjadi masalah utama asalkan bayi mendapat makanan lain selepas enam bulan pertama hidup mereka.

Secara kebiasaannya proses bercerai susu dilakukan secara perlahan-lahan atau berperingkat sama ada ia mengambil masa beberapa minggu atau bulan mengikut kesesuaian.

“Memberhentikan penyusuan badan kadang
kala boleh menyebabkan perubahan besar kepada ibu dan anak. Selain kesan fizikal, anda juga akan mengalami kesan emosi.

“Sesetengah wanita berasa sedih akibat kehilangan keakraban antara ibu dan anak seperti yang dirasai ketika menyusukan bayi mereka. Justeru, ia perlu dilakukan secara perlahan-lahan bukan bertindak drastik,” katanya.

Sebaiknya si ibu tidak menghentikan penyusuan badan serta-merta kerana ia akan mengganggu bayi dan membuatkan si ibu tidak selesa selain mengalami payudara bengkak dan kemungkinan mastitis.

Dr Zulkifli berkata, bayi hanya perlu diberikan makanan tambahan dalam bentuk makanan pejal hanya selepas enam bulan kelahiran.

“Ini kerana pada waktu berkenaan susu ibu saja tidak lagi mencukupi untuk menampung tumbesaran bayi dan mereka memerlukan lebih banyak khasiat serta nutrisi untuk membesar dengan sihat.

“Berikan makanan pejal yang diperkaya dengan zat besi untuk melengkapkan susu badan. Ia juga perlu dilakukan secara berperingkat kerana bayi memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru,” katanya.

Pada masa sama, pemberian susu ibu masih boleh diteruskan sehingga dua tahun atau seberapa lama yang dikehendaki oleh si ibu ataupun bayinya.

Di samping itu, memberi
kan bayi dengan susu ibu selama yang dikehendaki memberikan banyak manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu ibu dan bayi itu sendiri.

“Ia mampu mengeratkan hubungan antara ibu dengan anak serta memberikan masa yang istimewa antara mereka. Malah, pemberian susu ibu juga berupaya mengecutkan
rahim, mengurangkan kemurungan selepas bersalin serta paling utama mengurangkan perbelanjaan membeli susu formula,” katanya.

Menurutnya, bayi pula mendapat makanan terbaik bagi enam bulan pertama kehidupannya, antibodi dan faktor berguna lain, tidak perlu diberi ubat atau vitamin serta mengurangkan insiden jangkitan paru-paru dan cirit-birit.

Bagaimanapun, diingatkan selepas bercerai susu, ibu bapa perlu memastikan anak mereka mendapat makanan seimbang dengan nutrisi karbohidrat, protein, lemak dan vitamin bersesuaian.

“Ibu bapa tidak harus menggalakkan pengambilan makanan kurang berkhasiat, makanan segera yang manis atau makanan yang memiliki kandungan garam tinggi.

“Ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan serta mengganggu tumbesaran anak sama ada berat badan berlebihan hingga membawa kepada masalah obesiti serta pelbagai penyakit berbahaya,” katanya.

Dr Zulkifli berkata, walaupun susu ibu digalakkan diberi kepada bayi selama dua tahun, masa yang perlu diberi tanpa makanan dan cecair lain adalah selama enam bulan pertama saja.


Tip bercerai susu:

  • Gunakan cara berlainan untuk memujuk. Secara perlahan-lahan gantikan teknik penyusuan badan dengan cara lain untuk memupuk anak. Jika anda lazim menyusukan bayi anda untuk menenangkannya, cuba cara lain untuk membuatkan dia tenteram sama ada dengan membaca buku bersama-sama, menyanyi ataupun bermain.
  • Lengahkan masa penyusuan. Melambatkan masa penyusuan akan lebih berkesan sekiranya anak anda lebih tua dan boleh memahami penerangan anda. Apabila anak yang bertatih minta disusukan, katakan anda akan menyusukannya dalam sedikit masa dan alihkan tumpuannya kepada aktiviti lain. Jangan menyusukannya di awal petang dan beritahu dia mesti tunggu sampai masa tidur.
  • Pilih waktu yang bersesuaian untuk melakukannya (bercerai susu). Peristiwa besar akan membuatkan proses bercerai susu lebih susah. Adakah anak anda sakit baru-baru ini? Selalunya bayi yang tidak sihat mahu menyusu lebih kerap. Sebenarnya, penyusuan badan mungkin mendatangkan kebaikan untuk bayi yang sakit.

FAKTA:

Faedah penyusuan untuk ibu

  • Melindungi kesihatan ibu serta merendahkan risiko barah payudara dan ovari.
  • Mengelakkan pendarahan selepas bersalin.
  • Menjarakkan kelahiran kerana ia cara perancang keluarga semula jadi.
  • Mempercepatkan proses pengurangan berat badan dan mengempiskan perut kerana hormon oksitosin membantu mengecutkan rahim.
  • Mengeratkan kasih sayang antara ibu dan anak.
  • Penyusuan ibu boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana saja.

***********************************************************************************

PENGALAMAN INDAH SUKAR DIUCAP

IKATAN yang terjalin antara ibu dan anak terutama ketika menyusukan badan adalah satu pengalaman indah yang sukar diperkatakan.

Bayangkan bayi yang masih kecil itu boleh mengenali ibu mereka hanya melalui deria bau dan secara automatik, selepas diriba bayi akan menoleh sama ada ke sebelah kiri atau kanan untuk meminta susu.

Tidak dinafikan, ada sesetengah ibu yang mampu menyusukan bayi mereka sehingga dua tahun ataupun lebih, tidak kurang juga hanya mampu bertahan selama enam bulan sebelum diselang-selikan dengan susu formula.

Namun kadangkala anak itu mudah bercerai susu tetapi si ibu pula yang mengalami rasa sedih, begitu juga sebaliknya. Justeru, bagi sesetengah individu proses perceraian susu ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia berkait rapat dengan emosi dan psikologi anak dan ibu.

Ia perlu dilakukan secara berperingkat supaya ia menjadi satu pengalaman dan proses yang aman kepada semua.

Menurut Jazlinawati Osman, 38, pengalamannya bercerai susu dengan anak agak sukar disebabkan kedua-dua anaknya tidak mahu ‘dilepaskan’ daripada penyusuan badan.

Dia yang memberikan penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan kepada anak-anaknya sebelum diselang-selikan dengan susu formula dan makanan pejal lain mengakui, persediaan adalah faktor terbaik untuk memudahkan perceraian susu badan.

“Saya menyusukan anak sehingga dua tahun tetapi bukan secara eksklusif terutama selepas enam bulan pertama kerana saya turut memberikan mereka susu formula.

“Jika bergantung kepada pemberian susu badan saja, ia tidak mencukupi ditambah dengan kesibukan kerjaya pasti tidak mudah melakukannya. Apapun kini, terdapat pelbagai cara boleh dilakukan untuk memastikan anak mendapat bekalan susu badan mencukupi,” katanya.

Dia akui bukan mudah untuk bercerai susu dengan anak malah ia memerlukan masa yang lebih lama. Apatah lagi dia tidak mahu menggunakan kaedah meletakkan bahan tertentu bagi membuatkan anak dengan sendiri tidak mahu menyusu badan.

“Saya tidak sampai hati melihat anak ‘dipaksa’ de
ngan cara sebegitu walaupun ia untuk kebaikan mereka. Saya tidak mahu bercerai susu secara paksaan. Biarlah ia mengambil masa lama tetapi sekurang-kurangnya saya gembira dan anak pun tidak rasa tertekan.

“Disebabkan itu, saya melakukannya secara berperingkat. Ajar anak secara perlahan-lahan memandangkan usia anak ketika itu sudah memasuki tiga tahun, jadi mereka sudah memahami pelbagai perkara.

“Katakan pada anak, usia mereka sudah meningkat dan dia tidak boleh lagi menyusu badan,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, daripada pengalamannya menyusukan anak-anak tidak dinafikan faktor pengeluaran susu badan bergantung kepada semangat, tanggapan serta minda positif golongan ibu untuk terus menyusukan bayi mereka.

Jika ibu tertekan dan dilakukan dalam keadaan terpaksa, ia akan memberi kesan daripada segi psikologi ibu. Malah ia juga boleh memberi kesan kepada bayi kerana ketika proses penyusuan, hubungan antara ibu dan anak menjadi satu hinggakan anak boleh merasai jika ibu mereka dalam keadaan tenang ataupun sebaliknya.

Katanya, tugas untuk me
nyusukan bayi bukan mudah. Ia perlu diberikan perhatian khusus kerana faktor pengeluaran susu badan juga bergantung kepada keadaan si ibu.

“Bayangkan jika kita berasa tertekan dan pada masa sama, perlu menyusukan anak pasti proses itu dilakukan secara paksaan dan ia memberikan kesan kepada bayi kerana tidak mendapat bekalan susu mencukupi.

“Jika menyusukan anak, saya pastikan berada dalam keadaan bersedia kerana ia boleh dikatakan sebagai satu proses yang memenatkan terutama bagi wanita berkerjaya,” katanya.



Antara tip untuk memudahkan proses bercerai susu:

  • Kurangkan penyusuan. Setiap kali anak ingin menyusu, alihkan perhatiannya kepada perkara lain sama ada dengan memberikannya mainan ataupun melakukan aktiviti lain yang digemari.
  • Jangan tawarkan susu, tetapi jangan tolak jika dia mahu menyusu. Kadangkala si ibu dengansendiri akan memberikan susu badan secara tidak sedar. Tetapi ia boleh dikawal terutama bagi golongan ibu yang sudah menetapkan tekad untuk bercerai susu.
  • Namun, jika anak meminta untuk menyusu, cuba lengahkan selama mungkin dan jika tidak berjaya barulah boleh menyusukan anak itu.
  • Kurangkan waktu penyusuan secara berperingkat. Anda boleh mulakan dengan mengurangkan penyusuan pada waktu siang sama ada dengan biarkan anak bermain supaya dia leka, kemudian proses ini boleh dilanjutkan hingga waktu malam.


No comments: