Tuesday, July 28, 2009

Influenza A (H1N1)

hukhukhuk...sgt risau dgn virus ni..tmbh plak bila kuar statement "org mengandung harus lebih berhati²......"

ermmm...sentiasa berdoa agar sy dijauhkan dr penyakit yang merbahaya...moga sy dapat kesihatan yg memuaskan supaya melahirkan sorg lagi umat Nabi Muhammad SAW...aminnnn


Petikan dari laman web Kementerian Kesihatan Malaysia...

"Pada 28 Julai 2009 sejumlah 95 kes baru influenza A(H1N1) dengan 1 kematian telah dilaporkan, semua kes adalah kes tempatan di kalangan warga negara Malaysia. Daripada 95 yang dilaporkan hari ini, 68 kes merupakan kejadian dari 19 kluster baru dan 22 kes merupakan kejadian dari 11 kluster sedia ada. Lima (5) kes yang lain merupakan kes-kes sporadik atau terpencil.

Jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) di Malaysia sehingga 28 Julai 2009 adalah sebanyak 1,219 kes dengan 3 kematian. Daripada 1,219 kes yang dilaporkan tersebut, 574 (47%) merupakan kes import dan 645 (53%) kes jangkitan tempatan. Daripada jumlah ini, 1,198 kes (98%) telah sembuh hanya 12 kes atau 1% sahaja yang sedang menerima rawatan anti-viral di hospital. Sembilan orang atau 1% sedang menerima rawatan anti-viral di rumah.

Maklumat berkaitan 19 kluster baru influenza A(H1N1) adalah seperti di Lampiran 1. Sementara itu, 22 kes daripada 11 kluster sediada adalah seperti Lampiran 2.

Lima (5) kes tempatan lain yang dikategorikan sebagai sporadik terdiri daripada 2 kes yang dimasukkan ke hospital swasta. Manakala 3 kes lagi merupakan pelajar kini mendapat rawatan pesakit luar.

Sebenarnya kes kematian ini melibatkan seorang lelaki warga Malaysia berumur 42 tahun yang telah dinotifikasi pada 23 Julai 2009. Kes telah tidak sihat semenjak 6 Julai 2009 dan telah mendapatkan rawatan pesakit luar di beberapa buah klinik dan hospital swasta. Pada 18 Julai 2009, beliau mendapat rawatan di klinik swasta kerana keadaannya semakin teruk dan didiagnosa sebagai pneumonia. Beliau terus dirujuk dan dimasukkan ke wad di hospital swasta di Kuala Lumpur. Semasa di dalam wad beliau dikesan mengidapi Diabetes Mellitus dan Xray dada telah menunjukkan beliau mengalami pneumonia. Pada 19 Julai 2009, kes dipindahkan ke ICU kerana mengalami sesak nafas dan memerlukan bantuan alat pernafasan (ventilator). Memandangkan keadaan kes yang semakin teruk, ujian sampel tekak telah diambil pada 22 Julai 2009 dan disahkan positif kepada influenza A(H1N1) pada 23 Julai 2009. Walau bagaimanapun, kes tersebut yang telah mengalami berbagai komplikasi telah meninggal dunia pada 27 Julai 2009 jam 4.40 petang disebabkan oleh `Severe pneumonia with multiorgan failure’ setelah 10 hari mendapat rawatan.

Merujuk kepada situasi global, sehingga 28 Julai 2009, sejumlah 163,715 kes dengan 1025 kematian telah dilaporkan daripada 159 negara. Peningkatan sebanyak 4,492 kes dengan 38 kematian berbanding dengan hari sebelumnya. Terdapat penambahan Negara baru iaitu Maldives.

Untuk makluman talian hotline telah menerima sebanyak 92 pertanyaan pada 27 Julai 2009. Dua jenis pertanyaan yang paling kerap diajukan adalah seperti berikut untuk makluman orang awam.

  1. Orang awam terutamanya ibu-bapa masih ragu-ragu dan tidak jelas dengan gejala H1N1 dan tindakan yang perlu diambil oleh mereka. Tanda-tanda utama jangkitan influenza A(H1N1) adalah demam, batuk dan sakit tekak di mana kebiasaannya simptom adalah ringan dan boleh sembuh dengan sendiri. Walau bagaimana pun bagi mereka yang mempunyai tandatanda jangkitan yang semakin teruk seperti sakit dada, sesak nafas, demam yang tinggi serta perubahan pada tahap kewarasan hendaklah segera mendapat rawatan dan pemeriksaan di klinik berdekatan. Mereka yang bersimptom hendaklah sentiasa mengasingkan diri dan memakai mask muka di rumah untuk mengelakkan penularan penyakit.

  2. Vaksin influenza A (H1N1) belum dihasilkan lagi dan hanya dijangka akan berada di pasaran pada penghujung tahun ini. Tidak bermakna tanpa vaksin kita tidak boleh melindungi diri daripada jangkitan influenza A(H1N1). Cara yang paling berkesan untuk melindungi diri daripada jangkitan influenza A(H1N1) adalah mengamalkan kebersihan diri yang baik, seperti yang sering disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Nasihat kepada orang ramai:

Kementerian Kesihatan akan terus memantau kejadian kes yang dimasukkan ke hospital dan juga kejadian kluster ILI. Orang awam termasuk institusi pendidikan dan tempat kerja diminta member kerjasama dengan melaporkan kejadian kes ILI (influenza-like illness) yang menunjukkan simptom selesema, batuk atau sakit tekak. Mereka yang mendapat gejala yang teruk atau berisiko tinggi perlu segera mendapatkan rawatan di hospital yang berdekatan.

Bagi memperlahankan penularan wabak ini, kerjasama orang ramai amatlah diperlukan untuk melaksanakan langkah-langkah berikut:

  1. Orang ramai diminta untuk terus dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri terutamanya membasuh tangan secara rutin dan etika batuk. Mereka juga perlu mengamalkan social distancing (menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain serta mengurangkan majlis perjumpaan).

  2. Mereka yang mempunyai tanda-tanda penyakit dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan daripada klinik-klinik yang berdekatan. Kes-kes yang bergejala ringan boleh berehat di rumah dengan sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran di tahap yang optimum. Mereka juga dinasihatkan memakai mask dan jika gejala bertambah teruk untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut. Panduan menilai tahap kesihatan diri di rumah telah di muat naik ke laman web Kementerian Kesihatan sebagai rujukan orang awam.

  3. Kejadian-kejadian jangkitan influenza-like illness (ILI) atau jumlah ketidakhadiran (absenteeism) di sekolah atau di tempat kerja yang luar biasa, hendaklah dilaporkan ke Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk siasatan lanjut.

  4. Bagi pelajar yang terlibat dengan penutupan kelas atau sekolah termasuk intitusi pengajian tinggi, perlu dimaklumkan bahawa hanya mereka yang tiada bersimptom sahaja dibenarkan kembali ke tempat pengajian mereka. Mereka yang masih bersimptom perlu terus berehat di kediaman masing-masing sehingga sembuh atau tiada bersimptom. Tindakan ini perlu kerana mereka yang bersimptom masih mempunyai risiko untuk menularkan virus influenza kepada rakan karib mereka.

Maklumat influenza A(H1N1) termasuk aktiviti pencegahan boleh didapati melalui laman web Kementerian Kesihatan iaitu http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my ataupun melalui Talian Hotline influenza A(H1N1) Kementerian Kesihatan 03-88810200 dan 03-88810300 yang beroperasi antara 8.00 pagi hingga 9.00 malam setiap hari termasuk hari cuti dan kelepasan am.

Kementerian Kesihatan yakin dengan kerjasama dan penglibatan semua pihak, penularan influenza A(H1N1) di Malaysia dapat dibendung dengan sebaik mungkin untuk kesejahteraan semua.

Sekian dan terima kasih.

DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
Menteri Kesihatan Malaysia

Tarikh: 28 Julai 2009"

No comments: